Maklumat jawatan kosong terus notifikasi fon anda subscribe melalui link di bawah :



04 July 2020

Soalan Temuduga Kerja Yang Biasa Ditanya

Pastinya anda gembira apabila mendapat tawaran temuduga kerja. Sekurang-kurangnya permohonan kerja anda sudah diproses dan anda telah terpilih untuk sesi temuduga.

Namun sebenarnya ramai yang gagal sewaktu temuduga. Lebih malang apabila yang gagal sewaktu sesi temuduga ini, berkelayakan dan berpengalaman dalam jawatan yang dipohon. Kesilapan kecil sewaktu menjawab soalan di dalam sesi temuduga mungkin menjadi faktor calon tenuduga tidak terpilih untuk jawatan yang dipohon.

Bagi calon-calon temuduga yang bakal menghadiri temuduga kali pertama jangan risau. Kali in kami bakal kongsikan 9 soalan temuduga yang selalu ditanya kepada calon-calon temuduga.

Berikut merupakan 9 soalan yang selalu ditanya sewaktu temuduga kerja:

1. Sila nyatakan dengan ringkas tentang diri anda:

Hati-hati menjawab soalan ini. walaupun nampak ringkas dan mudah, ramai yang gagal menjawab soalan ini dengan baik. Jawab dengan ringkas serta jangan meleret. Penemuduga sudah ada maklumat dan biodata diri anda di resume. Penemuduga hanya mahu lihat bagaimana anda mempersembahkan diri anda sahaja.

2. Mengapakah anda meninggalkan pekerjaan lama anda?

Jangan risau dan jawab soalan ini dengan jujur. Tidak apa jika anda meninggalkan kerja yang lama dahulu kerana diberhentikan kerja. Tetapi pastikan anda memberikan ' positive spin' di dalam jawapan anda.

3. Apakah peranan anda di tempat kerja sebelum ini?

Cuba kaitkan jawatan dan peranan anda dengan pekerjaan yang anda minta sekarang. Ini memberi peluang kepada penemuduga untuk menilai sejauh mana pengalaman, kemahiran dan kelayakan serta kesesuaian anda dengan jawatan yang dipohon. Jika boleh cuba kaitkan setiap peranan dengan ciri-ciri utama yang diperlukan dalam pekerjaan yang dipohon sekarang.

4. Apa yang anda tahu tentang syarikat ini?

Sebelum temuduga buatlah sedikit kajian mengenai syarikat tempat anda mohon pekerjaan. Cari perkara asas mengenai syarikat seperti sejarah penubuhan, pemegang jawatan penting dan organisasi asas syarikat. Pastikan anda tahu dan fahamkan sedikit mengenai visi dan misi syarikat. Pengetahuan asas mengenai syarikat menunjukkan anda benar-benar ambil tahu dengan syarikat dan menggambarkan yang anda betul-betul berminat dengan pekerjaan yang ditawarkan.

5. Kenapa anda ingin bekerja di syarikat ini?

Walaupun nampak ringkas, namun soalan ini seringkali memerangkap calon temuduga. Jika menjawab secara teragak-agak dan kurang yakin, pasti penemuduga beranggapan anda tidak bersedia dan tidak benar-benar tertarik untuk bekerja dengan syarikat tersebut.

6. Kenapa jawatan ini sesuai untuk anda?

Soalan ini agak mencabar sebenarnya. Jangan terlalu menjual diri ketika menjawab. Jawablah dengan tenang dan jujur sambil merendah diri.

Tips:
Jika anda masih tiada pengalaman kerja, anda boleh kaitkan jawatan tersebut dengan pengalaman anda sewaktu latihan industri dan jawatan-jawatan yang pernah anda sandang ketika belajar.

7. Berapakah gaji yang anda harapkan?

Walaupun syarikat sudah ada kadar gaji mengikut tangga jawatan, soalan ini masih acapkali ditanya pada calon temuduga. Buatlah kajian terlebih dahulu dan bandingkan gaji untuk jawatan yang dipohon dengan syarikat-syarikat lain dalam industri. Bukan tidak boleh memohon gaji yang tinggi, tetapi biarlah berpatutan dengan pengalaman, kemahiran dan kelayakan anda.

Tips:
Bagi calon lepasan ijazah, hati-hati dalam menjawab soalan ini. Pastikan anda meminta gaji yang munasabah mengikut entri kerja yang diminta

8. Di mana anda lihat diri anda 5 tahun dari sekarang?

Ini adalah soalan lazim bagi syarikat-syarikat besar ke atas calon-calon temuduga.

Kebiasaannya mereka mahu menilai sama ada calon adalah seorang yang berpandangan jauh dan mempunyai visi.

9. Ada apa-apa soalan?

Soalan ini merupakan peluang keemasan untuk anda membina hubungan dengan panel penemuduga. Banyak solan yang boleh ditanya. Namun paling mudah anda boleh sahaja tanyakan perkara berkaitan dengan persekitaran syarikat, kemudahan serta kebajikan yang disediakan oleh pihak syarikat jika anda diterima bekerja di sana.

Tips-tips menghadiri temuduga:

  • Pastikan anda membuat persiapan yang rapi sebelum menghadiri temuduga kerja.
  • Siapkan dokumen-dokumen yang diperlukan sebelum temuduga.
  • Pakailah pakaian yang sopan dan sesuai dengan pekerjaan yang dipinta.
  • Jangan lokek dengan senyuman.
  • Pastikan posisi badan anda sedikit ke hadapan ketika duduk sewaktu ditemuduga bagi menunjukkan anda berminat dengan sesi temuduga tersebut. Elakkan bersandar di kerusi.
  • Jika boleh kurangkan pergerakan tangan sewaktu bercakap.
  • Datang awal ke tempat temuduga.

Selain itu, doalah kepada yang Maha Kuasa. Anda dah usaha, sekarang masanya untuk bertawakal.

Bagi yang hendak menduduki temuduga kerja, selamat berjaya kami ucapkan. Semoga artikel ringkas ini menyiapkan anda untuk menjawab soalan temuduga dengan sebaiknya.